Wednesday, November 30, 2011

Ulang Tahun Perkahwinan.

Hari ini hari paling istimewa bagiku kerana pada hari ini merupakan hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-26. Kalaulah masa ini dapat diputarkan kembali, masih terbayang-bayang di ruang mata tanggal 1 Disember 1985 - tarikh kami diijabkabulkan sebagai suami isteri. Mulai saat dan detik itu, bermulalah kehidupan baru kami berdua setelah melewati musim-musim cinta pada zaman persekolahan, universiti dan alam kerjaya - tujuh tahun lamanya sehingga kami mengambil keputusan untuk mencari titik nokhtahnya pada tarikh tersebut!

Dalam melewati kembara 26 tahun hidup bersama, kami dikurniai dua putera yang kini sudah menjangkau usia remaja. Sesungguhnya, sepanjang perkongsian hidup antara kami anak beranak ini, banyak momen indah yang terukir dalam kehidupan kami biarpun kami juga tidak sunyi daripada melalui momen-momen duka seperti orang lain jua.

Terkenang kembali, saat-saat melahirkan anak sulungku, banyak yang kami perlu pelajari walaupun pada masa itu arwah ibu dan abah masih ada tetapi seboleh yang mungkin, kami tidak mahu menyusahkan mereka. Biarlah segala-galanya kami yang uruskan sendiri sehingga lahirlah putera kami yang kedua pula pada tahun 1990.

Kini, setelah 26 tahun berlalu, sebagai isteri dan ibu , aku bersyukur atas segala nikmat yang kuperoleh selama ini. Aku berbangga dengan pencapaian akademik yang diperoleh kedua-dua puteraku ini. Begitu juga dengan pencapaian diriku sebagai pendidik anak bangsa di menara gading ini. Sesungguhnya, aku amat menyayangi karier dan anak didikku semoga mereka menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati setiap perjalanan kehidupan kami dan anak-anak di dunia dan di akhirat dengan penuh keberkatan-Nya.

Buat suamiku...musim-musim bunga cinta yang kita lalui bersama, biarlah ia terus segar, berkembang mekar, mewangi buat selamanya. Sesungguhnya, tiada nikmat yang paling indah dan bahagia dalam hidup ini selain kita memohon dikurniai dengan nikmat kesihatan, rezeki, umur yang bermanfaat dan amal ibadat yang mendapat keredhaan-Nya. Amiinn...

Menutup catatan, kesabaran, ketabahan dan keikhlasan menjadi benteng kesetiaan dalam hati setiap isteri ketika menjalani kehidupan suka duka bersama suaminya kerana cinta itu perlu disemai, dibajai dan disirami, ibarat sekuntum mawar yang sedang menguntum wangi sepanjang masa. Salam.

Wednesday, November 16, 2011

Percutian Keluarga.

Sudah lama benar saya dan keluarga tidak mengunjungi Cameron Highlands ( CH ), hampir-hampir 10 tahun lamanya. Saya masih ingat, musim-musim mengunjungi CH dulu ketika anak-anak pun masih kecil, dan kemudian ketika mereka mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah dan selepas itu ke sekolah menengah pula. Sesudah itu, saya dan keluarga sudah mula jarang-jarang ke CH lagi. Bukannya tidak suka, tetapi kesusahan mencari ruang waktu yang bersesuaian untuk kami berempat beranak untuk cuti serentak. Maklum, apabila anak yang sulung sudah memasuki universiti, anak kedua baru di SBP, jadi cuti sekolah dengan cuti universiti agak berbeza menjadikan peluang-peluang yang ada itu, kami lebih gemar berkunjung ke negeri-negeri yang belum pernah kami kunjungi lagi bagi memanfaatkan erti percutian kami sekeluarga!

Tanggal 6-8 November 2011 yang lalu, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk bercuti ke CH. Oleh sebab perancangan 'last minute' yang dibuat menjadikan semua hotel yang kami hubungi, kebanyakannya sudah 'fully booked' - maklum pada hari tersebut merupakan Hari Raya Aidiladha. Rupa-rupanya menjadi trend orang sekarang, usai sahaja solat sunat Aidiladha, orang dah mula mengatur perancangan untuk percutian! Akhirnya kami dapat membuat tempahan di Cameron Highlands Resort.

CH...terlalu banyak perubahan yang berlaku padamu! Ingat lagi, dulu-dulu hotelnya boleh dibilang dengan jari sahaja, kini sudah bertambah macam cendawan tumbuh selepas hujan. Stesen basnya juga sudah berubah wajah, indah sekali senibinanya, macam bangunan-bangunan yang terdapat di negara Barat. Tempat-tempat makan pun sudah banyak bertambah! Terkenang dulu, kami pernah lepak-lepak menghirup udara malam di bandar Tanah Rata...sambil enak-enak menjamu selera makan sate, mi rebus, rojak buah dan lain-lain. Masih ada lagi tempat itu, malangnya pada malam itu, tidak ada orang berniaga kerana masih lagi dalam suasana hari raya.

Ladang-ladang teh Bharat, Boh, strawberry, bunga ros dan tempat menjual sayur- sayuran, buah-buahan, kraftangan, bunga-bungaan segar dan kering masih seperti dulu juga. Walaupun di sana sini pembangunan semakin bertambah di CH, tetapi cuaca sejuknya masih terasa. Kunjungan kami kali ini disertai dengan musim hujan pada setiap petang menjadikan suhu di CH semakin bertambah sejuk menjelang pukul 4.00 petang hingga malam, ada kalanya mencecah sehingga 16C.

Paling istimewa apabila kami dapat mengunjungi ke Ladang Teh Boh di Sungai Palas, lebih kurang ketinggian melebihi 4000 kaki. Perjalanan ke Sungai Palas melalui jalan yang penuh berliku, jalan sempit...takut sungguh! Selisih dua kereta pun tak lepas...Pada paras ketinggian yang sebegitu, udaranya sunguh nyaman. Ada ruang legar yang disediakan untuk minum-minum teh secara santai dan sudah tentu pilihan kami sekeluarga ialah teh panas dengan beberapa sandwich dan cookies untuk memanaskan badan. Sungguh mendamaikan dengan pandangan yang penuh dengan kehijauan... dan di kejauhan, sayup-sayup kelihatan pekerja-pekerja ladang sedang memungut daun teh. Dalam kedinginan yang begitu, diri terbuai dalam lautan kehijauan daun teh yang sungguh menyegarkan...hilang segala jerit pekik kota yang membingitkan telinga selama ini...

Mengakhiri catatan, tiada yang lebih indah dalam hidup ini selain dapat menghayati keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya dengan penuh keinsafan bahawa kita menghargai ciptaan Sang Pencipta alam yang penuh dengan keajaiban bagi insan-insan yang mahu memikirkannya. Salam.

Thursday, October 6, 2011

Masa Oh Masa

Lama sungguh rasanya saya tidak menulis di sini. Selepas sahaja berlalunya Aidilfitri tempoh hari, saya seolah-olah dilanda kesibukan yang melampau!! Selain memenuhi jemputan "Open House" dan juga majlis Wahlimatul Urus sahabat handai pada hujung minggu, kesibukan itu lebih menjurus pada tugas hakiki di tempat kerja.

Apa tidaknya, sebagai kakitangan Akademik di IPTA, kami mula menerima kemasukan pelajar baru bagi Sidang Akademik 2011/2012 pada 5 September 2011. Jadi pada Minggu Orientasi pelajar, pelbagai aktiviti untuk pengetahuan pelajar baru diadakan, termasuklah sesi pengenalan kursus dari pusat pengajian saya sendiri.

Selepas berakhirnya Minggu Orientasi pelajar baru, masuklah pula pelajar lama pada minggu berikutnya. Walaupun pelajar lama ini ada yang telah membuat pendaftaran kursus dalam talian, tetapi masih ada yang bermasalah di samping ada yang hendak menambahkan kursus dan ada pula yang hendak menggugurkan kursus. Macam-macam ada!! Jadi kesibukan inilah yang membataskan waktu di samping sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Semester Pertama pun sudah bermula. Kadang-kadang tak tercekau oleh masa apabila setiap kerja yang dilakukan terpaksa merujuk "date line" yang diberikan.

Akhir-akhirnya, saya tidak ada ruang masa untuk mencoret sesuatu sebagai santapan minda saya untuk meringankan kepala daripada tugas-tugas hakiki di pejabat. Masa...oh masa, begitu cepat engkau berlalu. Kadang-kadang tak terasa perjalanannya. Dalam sibuk-sibuk buat itu ini, alih-alih tengok jam dah pukul 5.00 petang lebih. Betullah kata bijak pandai, masa itu emas. Nilai emas memang mahal harganya!

Menutup catatan, tiada yang lebih indah dalam kehidupan ini selain mengenang kembali detik-detik waktu yang berlalu yang meninggalkan memori kenangan yang membahagiakan. Salam.

Tuesday, September 6, 2011

Suatu Tragedi.

Semalam, 5 September 2011, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, saya mendengar siaran AM KRU, HOT FM bersama 4 DJnya yang tidak asing lagi dengan 2 tetamu jemputan istimewa mereka iaitu Jurukamera TV3; Aji Saregar dan wartawan; Shahril ( maafkan saya kalau nama ini tersilap dengar ) tentang insiden-insiden yang berlaku di sebalik tabir dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia sehingga mengakibatkan terkorbannya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor pada 4 Syawal 1432H bersamaan dengan 2 September 2011.

Sesuatu yang cukup terkesan di hati saya apabila Sdra. Aji Saregar menceritakan kisah perbualan-perbualan terakhir beliau bersama Allahyarham Noramfaizul. Antaranya; tentang permintaan Allahyarham yang ingin bergambar di depan kapal terbang Skyhwk ( maaf andai tersilap dengar ) yang terletak di kawasan kem pelarian Mogadishu. Menurut Aji, kedua-dua mereka bergambar di situ dan Allahyarham meminta Aji supaya mencuci gambar tersebut apabila tiba di Kuala Lumpur kerana merekalah orang yang paling bertuah kerana dapat mengabadikan diri mereka di situ.

Yang kedua, apabila Aji Saregar menceritakan keriangan Allahyarham mengisahkan kembali perihal semua rakan medianya daripada Astro, TV1, TV3, NTV7, dan agensi-agensi yang berkaitan tentang kebaikan rakan-rakannya itu. Pada pandangan peribadi saya, Allahyarham merupakan seorang yang cukup berdedikasi dengan tugasnya sebab itu beliau disegani dan disayangi oleh banyak pihak dan mempunyai kenalan dan taulan yang ramai.

Sesuatu yang cukup mengharukan dan menyentuh hati nurani saya apabila Sdra. Aji mengatakan sesampai sahaja rombongan mereka di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pada 3 September 2011, semua rakan Allahyarham yang diceritakan oleh Allahyarham dalam sesi borak-borak mereka berdua itu turut hadir menyambut ketibaan jenazah tersebut. Menurut Aji, beliau juga mengenali rakan-rakan media Allahyarham kerana mereka dalam bidang yang sama.

Pada pandangan saya, Allahyarham seolah-olah seperti sudah mengetahui ajalnya akan tiba apabila terkenang kembali kemesraan bersama rakan-rakan medianya itu dan akhirnya rakan-rakan itulah juga yang menunggu dan menyambut ketibaan jenazahnya. Al Fatihah untuk Allahyarham semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diredhai oleh-Nya. Amiinn.

Emosi saya semakin terusik apabila Faizal Hot FM menyiarkan lagu 'Pergi' nyanyian Aizat yang bait-bait liriknya itu terus saya hayati sehingga saya dibuai kesayuan yang berpanjangan pada pagi Isnin pertama memulakan tugas selepas bercuti panjang kerana menyambut Hari Raya Aidilfitri 2011.

Menutup catatan, setiap yang pergi pasti meninggalkan kenangan. Simpan ia sebagai suatu memori yang biarpun payah... tetapi sebagai hamba Allah, kita tidak punya kuasa untuk menidakkan ketentuan daripada-Nya, kerana sesungguhnya daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan. Salam.

Thursday, August 25, 2011

Pasrah.

Kehilangan insan yang disayangi 'dijemput' Ilahi merupakan hakikat yang amat sukar dihadapi oleh sesiapa sahaja, apatah lagi pemergian itu melibatkan insan-insan tersayang dalam kehidupan kita, lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia seperti sekarang ini. Lewat kebelakangan ini, kita seringkali didedahkan dengan berita-berita kematian yang begitu menyayat hati melalui media cetak mahupun media elektronik.

Antara contoh yang dapat kita lihat adalah seperti kematian 2 beradik yang menunggang basikal ketika pulang dari sekolah yang berlaku di Kota Bharu, Kelantan, kematian 3 beradik yang dipercayai ditolak oleh bapa sendiri di kolam takungan yang berlaku di Kluang, Johor, kisah 7 kematian yang berlaku dalam tragedi tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Rui, Cameron Highlands dan lain-lain merupakan antara secebis kisah duka lara buat keluarga-keluarga yang terlibat.

Sebagai isteri dan ibu, saya dapat memahami dan merasai erti kesedihan, kesunyian dan rasa kekosongan yang dialami oleh keluarga-keluarga yang ditimpa musibah tersebut, khususnya pada ibu kanak-kanak terbabit. Tambahan pula, pemergian itu bukannya seorang, tetapi lebih daripada satu, sudah tentu kepedihan yang dialami terlalu amat parah!

Saya pernah kehilangan ibu pada 27 Oktober 2006 bersamaan 4 Syawal 1427, sehingga kini saya masih merasai kekosongan itu pada setiap kali menjelangnya hari lebaran. Riuh rendah suara ibu mengarahkan kami, adik beradik membuat persediaan Aidilfitri sudah tidak ada lagi. Suasana raya dirasai benar-benar hambar dan tidak bermaya... Inikan pula keluarga-keluarga yang kehilangan 2-3 anak sekaligus, bayangkan...

Hari Raya sudah tidak membawa apa-apa makna lagi, kehidupan serasanya kosong tetapi sebagai insan yang beriman, kita tidak boleh menolak takdir, segalanya sudah ditetapkan oleh Allah, mungkin ada hikmah di sebaliknya yang perlu kita sandarkan pada-Nya. Jangan ikut kata hati, pesan orang tua ikut hati mati, ikut rasa binasa. Hidup perlu diteruskan... yang pergi kita titipkan doa restu semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amiinn... dan kita yang tinggal, mesti meneruskan kembara hidup dengan hati yang tabah, cekal dan memohon keredhaan daripada-Nya.

Mengakhiri catatan, buat keluarga yang ditimpa dengan pelbagai musibah, haruslah mempunyai kekuatan jiwa dan ingatlah setiap perkara yang berlaku adalah di bawah ketentuan-Nya, semoga kalian tabah menghadapi ujian pahit getir ini kerana sesungguhnya kesabaran itu merupakan kunci kebahgiaan pada hari kemudian. Salam.



Monday, August 22, 2011

Lagu dan Hari Raya

Minggu ini merupakan minggu terakhir fasa Ramadhan sebelum Syawal menjelang tiba. Ramai yang sibuk dengan persiapan menyambut hari raya , malah suasana di pejabat-pejabat juga sudah mula terasa lengang apabila ramai staf yang sudah mula bercuti untuk pulang ke kampung. Bagi kebanyakan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri begitu terasa sekali sambutannya kerana ia dirayakan selepas umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa selama sebulan. Malah bagi kanak-kanak yang baru berjinak-jinak berpuasa, Aidilfitri begitu dinanti-nantikan setelah mereka berjaya menahan diri daripada makan dan minum serta mematuhi adap-adap berpuasa seperti yang dituntut dalam Islam.

Sebenarnya, suasana hari raya dapat dirasai di mana-mana, malah ketika berada di pejabat pun terasa suasana itu apabila melihat lampu-lampu neon bergemerlapan di kaunter pejabat dengan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tambahan pula apabila mendengar lagu-lagu raya berkumandang di radio baik lagu-lagu raya lama mahupun lagu-lagu raya baru bagi mengundang suasana kemeriahan perayaan tersebut.

Bercakap tentang lagu-lagu raya ini, saya pernah berbual-bual dengan rakan-rakan yang kebanyakannya bersependapat dengan saya bahawa lagu-lagu raya 'malar segar' ini lebih terasa kemeriahannya berbanding lagu-lagu raya baru. Walaupun lagu-lagu raya 'malar segar' ini ada yang sudah berusia 20 - 30 tahun lebih tetapi hingga kini masih syahdu didengar dan begitu terasa 'roh' hari raya tersebut. Antara yang dapat saya catatkan judul lagu raya tersebut adalah seperti lagu:

Selamat Hari Raya - Saloma, Ahmad Jais dan Fazidah Joned (versi yang berbeza), Suasana Hari Raya & Hari Raya Yang Mulia - Sharifah Aini, Aidilfitri & Bersabarlah Sayang - Sanisah Huri, Dendang Perantau - P.Ramlee, Cahaya Aidilfitri - BDB, Satu Hari Dihari Raya - M.Nasir, Dari Jauh Kupohon Maaf - Sudirman dan Seloka Hari Raya - Hail & Uji.

Saya tidak dapat bayangkan seandainya hari-hari perayaan di Malaysia seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal tidak mempunyai lagu-lagu raya untuk menyatakan suasana kemeriahannya. Kemungkinan, pada hari-hari perayaan tersebut, tentu suasananya akan berasa hambar sekiranya tiada lagu-lagu raya yang mengiringi kemeriahan perayaan tersebut. Rupa-rupanya lagu juga memainkan peranan yang penting dalam menyatakan sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya!

Lagu-lagu inilah yang sebenarnya menyatakan rasa dan naluri setiap insan baik kepada anak perantauan yang berjauhan daripada keluarga, yang ketiadaan ibu bapa atau yang tak sabar-sabar menanti tibanya hari raya seperti golongan kanak-kanak! Saya masih ingat kebanyakan lagu yang saya nyatakan ini, saya masih lagi dalam alam persekolahan. Kini setelah hampir 25 tahun saya bekerja, lagu-lagu ini masih segar dalam ingatan, masih berada dalam carta tertinggi lagu raya paling digemari. Malah anak-anak remaja yang lahir dalam era 90-an pun tidak meminati lagu-lagu raya yang lahir pada zaman mereka, tetapi masih mengkagumi lagu-lagu raya 'malar segar' ini biarpun mereka belum lahir lagi ke dunia pada ketika itu. Sekalung tahniah buat para pencipta dan penulis lirik lagu-lagu tersebut!

Kita tidak tahu sebab-sebab lagu-lagu raya baru yang dicipta oleh pencipta-pencipta kini gagal menambat hati atau menyentuh intuisi pendengarnya menyebabkan lagu-lagu tersebut tidak ubah seperti lagu-lagu biasa sahaja yang tidak mempunyai 'jiwa' untuk menyatakan kemeriahan dan erti sebenar hari raya. Sebaliknya, lagu-lagu raya 'malar segar' ini sentiasa segar sepanjang zaman, biarpun apabila negara berada pada ambang 2020, lagu-lagu ini masih tetap eksklusif berada di persadanya!

Menutup catatan, sesungguhnya rahmat Allah amat banyak kepada hamba-hamba-Nya, jadilah kita insan yang sentiasa mensyukuri nikmat-Nya. Sempena bulan yang penuh dengan keberkatan ini, sama-samalah kita bermaaf-maafan semoga Aidilfitri ini membawa cahaya keinsafan yang abadi buat kita semua. Insya Allah. Salam.



Friday, August 19, 2011

Hebatnya Hawa...

Hari ini masuk hari ke-19 umat Islam berpuasa. Hal ini bermakna, tidak sampai 2 minggu lagi kita akan sama-sama merayakan Hari Lebaran yang bakal menjelang. Ke mana-mana saja kita pergi, khususnya di pusat membeli-belah, suasana hari raya sudah benar-benar terasa. Dengan promosi Jualan Murah, Jualan Istimewa, 'Best Buy' dan macam-macam nama lagi, menjadikan seluruh warga kota dan desa mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti membeli-belah ini baik untuk diri sendiri, anak-anak, suami isteri, ibu bapa hatta untuk yang tersayang juga! Suasana sungguh meriah...

Bagi kaum Hawa juga demikian. Malah hari raya tidak akan berseri tanpa penglibatan mereka. Merekalah orang yang paling sibuk baik dalam hal masak memasak, kemas mengemas, hias menghias dan 1001 macam aktiviti yang berkaitan dengan persiapan hari raya.

Memang tak salah lagi kalau nak digelar kaum Hawa ini sebagai 'superwoman'. Bayangkan dari pukul 4.30 pagi sudah bangun untuk menyiapkan juadah sahur, kemudian terus tidak tidak tidur lagi untuk menguruskan hal anak-anak ke sekolah dan diri sendiri untuk pergi bekerja.

Di pejabat 8.00 - 5.00 petang waktu bekerja. Balik pejabat tergesa-gesa pula untuk menyediakan juadah berbuka. Kalau tak terdaya, boleh beli saja di PARAM tetapi di PARAM pun kadang-kadang masalah juga. Apabila lambat tiba, parking pun jauh, kena menapak lagi untuk membeli apa-apa yang diingini. Selepas waktu berbuka, tergesa-gesa pula nak bersiap ke surau/masjid untuk mengerjakan solat sunat Tarawih (itupun kepada yang rajin nak berjemaah, kalau tidak buat di rumah saja ). Maklum Ramadhan setahun sekali, semua orang ingin mengejar pahala yang tak terhitung banyaknya.

Terdapat juga kaum Hawa yang masih rajin dan bertenaga untuk membuat kueh raya pada waktu malam. Saya cukup kagum dengan mereka yang mampu berbuat demikian. Saya masih ingat masa saya "muda-muda" dulu, saya juga suka membuat kueh raya pada waktu malam, tetapi kini tidak lagi apabila penyakit "malas" sudah mula menguasai diri.

Pendek kata, tugas kaum Hawa tak pernah habis, lepas satu, satu yang lain pula muncul. Agaknya, rehat kaum Hawa hanya apabila mereka masuk tidur sahaja, selagi belum tidur, ada-ada saja kerja yang perlu diberesi.

Tidak ramai kaum Adam yang mampu melakukan tugas sampai sebegitu rupa, walaupun saya tidak dapat nafikan memang ada kaum Adam kini yang membantu isterinya. Kadang-kadang terfikir di benak saya, di mana datangnya segala kudrat yang ada pada kaum Hawa ini? Tak terjangkau dik fikiran untuk memikirkannya! Hanya yang dapat saya katakan mungkin atas nilai kasih sayang kaum isteri pada suami dan anak-anak tercinta sehingga mereka tidak memikirkan erti keletihan, yang pasti mereka berasa puas untuk insan-insan tersayang yang hadir dalam hidup mereka!

Menutup catatan, hargailah nilai seorang ibu, seorang isteri kerana ia ibarat sinar mentari yang tidak pernah hilang, senantiasa bercahaya, panas dan membakar dalam membawa sinar kebahgiaan untuk seisi keluarga. Salam.

Saturday, August 13, 2011

Kenapa Cinta Putih?

Kalaulah masa ini boleh diputarkan kembali, aku ingin sekali menelusuri zaman-zaman belajarku di kampus suatu ketika dulu...sungguh menyeronokkan! Apa tidaknya, pada ketika itu, tidak banyak tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai pelajar. Awal pagi pergi ke kuliah ( itupun kalau ada kelas pada waktu pagi ),menghadiri kelas tutorial, library, buat assignment, discussion group dan selebihnya bergerak aktif dalam persatuan-persatuan di kampus, sama ada pada peringkat fakulti mahupun pada peringkat kolej kediaman. Itu sahaja tanggungjawabya!

Masa selebihnya yang lain, buatlah aktiviti-aktiviti syok sendiri! Oleh sebab kampungku jauh , nun di utara dan aku belajar di Selangor, keperluan untuk balik ke kampung pada setiap hujung minggu jarang-jarang dapat kulakukan. Al maklum...belajar pun hanya dapat Dermasiswa JPA saja. Jadi pada setiap hujung minggu, selain turun ke bandar untuk membeli barang-barang keperluan diri, masa selebihnya aku lebih gemar melayan diri dengan membaca, menulis, riuh rendah dengan teman-teman dan mendengar radio. Itulah hobiku apabila adanya masa terluang...

Di samping mendengar lagu-lagu daripada penyanyi tempatan, lagu-lagu Inggeris, aku juga suka mendengar lagu-lagu daripada penyanyi tanah seberang seperti Broery, Bob Tutopoly, Tetty Kardy, Endang S.Taurina, Grace Simon, DLlloyd dan lain-lain.

Antara lagu yang paling kugemari pada waktu itu, lagu Cinta Putih nyanyian Grace Simon. Sebenarnya, lagu ini juga turut dinyanyikan oleh Titiek Puspa. Kedua-dua penyanyi ini mempunyai gaya tersendiri apabila menyanyikan lagu ini. Tak tahu kenapa...aku seolah-olah 'jatuh cinta' apabila mendengar bait-bait liriknya yang sungguh syahdu, puitis, terlalu luhur dan kelihatan begitu murni erti cinta putih itu! Tak percaya... cuba lihat lirik pada perenggan pertama lagu ini:

bayu pun semilir puspa pun mewangi kerana dikau
bulan senyum ayu suria keemasan kerana dikau
samudera menggelegar gelombang berkejar kerana dikau
simfoni yang terindah..
terciptalah sudah kerana dikau

Inilah antara bait lirik yang terdapat dalam lagu Cinta Putih, suatu kisah cinta yang cukup tulus, ikhlas dan murni!

Kini, untuk kesekian kalinya dalam melewati perjalanan masa yang semakin jauh, cinta putih masih tetap segar dan bersemi dalam ingatan, lalu kuabadikan cinta putih ini dalam dunia penulisanku sebagai lambang kemurnian, ketulusan dan kesyukuran yang maha agung buat-Nya yang memberikanku kekuatan mencari ilham untuk berkarya semoga tintaku ini tidak terus berhenti di sini saja.

Menutup catatan, ilham yang datang dan pergi ibarat pelangi petang yang singgah sebentar mewarnai rona-rona kehidupan insan yang penuh dengan teka teki. Salam.

Wednesday, August 10, 2011

Bangga Menjadi Anak Malaysia.

Menelusuri berita-berita seminggu ini, saya seolah-olah kehilangan kata-kata apabila terpandang gambar seorang bayi perempuan Somalia yang berusia 6 bulan terlentang kurus keding sehingga kelihatan tulang kerangkanya ekoran kekurangan zat makanan dan menghadapi penyakit hydrocephalus. Gambar kedua pula memaparkan seorang kanak-kanak yang sedang menadah bekas mengisikan makanan di kem pelarian dan di sekitarnya dikerumuni lalat yang banyak. Itulah senario yang berlaku di Somalia sekarang yang sedang melalui krisis kemanusiaan yang paling dahsyat akibat kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun - sungguh menginsafkan sesiapa sahaja yang melihatnya!

Sesungguhnya, kita berasa cukup bersyukur dan bertuah tinggal di bumi Malaysia yang penuh dengan kemakmuran dan kemewahan yang pelbagai. Malah, kalau di Somalia, ramai yang mati sebab kekurangan zat makanan, kebuluran dan penyakit tetapi di Malaysia, sebaliknya pula yang menjadi penyebabnya.

Kematian utama di Malaysia berlaku oleh sebab terlalu banyak makan, nak tunjuk hebat di jalan raya dan tak kurang yang terlibat dalam penagihan/pengedaran dadah. Itulah antara dua dunia yang berbeza, antara kaya dengan miskin, antara keamanan dengan kekacauan dan antara kestabilan dengan kerapuhan. Renung-renungkanlah...

Ketika catatan ini ditulis, satu lagi rusuhan berlaku di kota London yang hanya bermula dengan satu protes kecil secara aman di pinggir kota London di Tottenham yang akhirnya bertukar menjadi rusuhan besar dan merebak ke tiga bandaraya utama iaitu Birmingham, Bristol dan Liverpool.

Kota London yang merupakan sebagai salah satu destinasi pelancongan yang cukup menarik dengan sekelip mata telah berubah wajah menjadi destinasi yang cukup menakutkan! Harta benda dirosakkan, kehidupan mula terasa terancam apabila banyak bangunan termasuk rumah dan kenderaan awam dan polis dibakar. Hal ini dapat dilihat dalam mana-mana saluran media yang memaparkannya.

Senario ini menyedarkan saya dari lamunan yang panjang...Alangkah... indahnya hidup di bumi Malaysia yang tercinta, walau dalam kepelbagaian yang rencam... kita masih dapat menghirup udara kedamaian yang penuh keharmonian. Kita masih berasa aman untuk melakukan apa-apa sahaja aktiviti dalam kehidupan seharian kita tanpa ada rasa ketakutan dan kebimbangan .

Tambahan pula, dalam bulan Ramadhan, kewujudan Bazar Ramadhan ini seolah-olah bagai Pesta Makanan yang kita tak terlayan untuk membelinya. Begitu juga di pusat membeli-belah, kita bebas berbelanja sebagai persiapan untuk menyambut Hari Lebaran atau melakukan apa-apa sahaja yang ingin kita lakukan selagi kita tidak mengganggu ketenteraman awam!

Lihatlah... betapa aman dan makmurnya bumi Malaysia. Janganlah keamanan ini di ganggu gugat setelah 54 tahun kita bersama memilikinya, kita bersama membangunkannya dan kita bersama menikmati kecemerlangannya. Malaysia yang satu ini harus kita jaga, harus kita pertahankan kerana di sinilah tanah tumpah darah kita, tempat kita dibesarkan dan mengisikan erti kemerdekaan.

Menutup catatan, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54 pada 31 Ogos 2011 dan sesungguhnya, nikmat paling besar yang harus kita jaga adalah apabila kebahgiaan dan keharmonian itu bersebati sebagai suatu milik bersama. Jangan kita sia-siakan erti kebahgiaan dan keharmonian itu kerana sekali terleka, kelak deritanya akan ditanggung sepanjang hayat. Salam.

Tuesday, August 9, 2011

Mercun...ooo Mercun!

Setiap tahun, apabila menjelangnya Ramadhan dan Syawal, kita tidak terlepas daripada mendengar berita tentang bahana mercun terhadap mangsa-mangsanya. Acapkali sangat tragedi malang ini menimpa kanak-kanak yang begitu ghairah untuk bermain mercun dan mengubah suai mercun yang sedia ada atau membuat 'meriam' buatan sendiri.

Mangsa-mangsa yang bermain mercun ini, ada yang terputus jari, buta matanya, melecur disambar api, kudung kaki dan yang paling tragis ada yang sampai membawa maut. Tentu kita masih ingat lagi kejadian yang berlaku pada seorang kanak-kanak yang baru berusia 6 tahun di Terengganu sehingga membawa maut gara-gara bermain mercun buatan sendiri. Kanak-kanak malang ini tercampak dan melambung di celah-celah dahan pokok sehingga menyebabkan sebahagian kepalanya berkecai akibat letupan yang kuat. Sungguh tragis kejadian itu walaupun sudah setahun berlalu tetapi saya tidak dapat bayangkan bagaimana kanak-kanak yang sekecil itu boleh bermain mercun tanpa pengawasan orang dewasa di sekelilingnya?

Tahun ini ketika umat Islam baru hari ke-4 berpuasa, kita dikejutkan dengan berita mangsa pertama bahana mercun ini yang terjadi kepada seorang remaja 19 tahun di Kota Bharu sehingga terputus 3 jari tangannya. Insiden demi insiden yang berlaku saban tahun, sedikit pun tidak memberikan kesedaran kepada kanak-kanak mahupun remaja untuk mengambil iktibar daripadanya.

Saya sendiri cukup hairan dengan sikap generasi sekarang yang begitu ghairah dan kreatif untuk mengubah suai mercun yang sedia ada walaupun mereka tahu akan bahaya yang akan menimpanya. Kalaulah golongan anak remaja ini cukup kreatif dalam bab reka cipta ini, 'kenapakah mereka tidak mahu melakukan aktiviti reka cipta ini secara yang lebih teratur/profesional melalui Kelab Reka Cipta di sekolah ataupun Kelab Rakan Muda supaya kekreatifan mereka ini dapat dimanfaatkan? Reka cipta ini bukanlah dalam reka cipta bahan letupan. Bahaya...!

Ikutlah seperti Sdra. Zulkifli Harun yang pernah mendapat jolokan sebagai Mac Gyver Malaysia yang begitu berminat dalam hal-hal reka cipta sehingga setiap ciptaan beliau dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Semangat reka cipta yang beginilah yang kita perlukan!

Sebagaimana yang umum mengetahui, permainan mercun ini sememangnya merupakan kelaziman dalam kalangan masyarakat Cina apabila menyambut Tahun Baru Cina tetapi yang peleknya, kita jarang-jarang sangat mendengar kalangan kanak-kanak dan remaja Cina yang terputus jari atau apa-apa yang lain ketika bermain mercun! Pada pemerhatian saya agaknya, kanak-kanak dan remaja Cina tidak kreatif mengubah suai mercun yang dibeli sebab itu mereka selamat berbanding kanak-kanak dan remaja Melayu yang "terlebih kreatif tidak bertempat" sehingga akhirnya membawa musibah kepada diri mereka sendiri. Dalam bahasa yang paling mudah, mereka ini tidak pernah serik-serik bermain mercun walaupun mereka tahu ada bahaya yang sedang menanti mereka.

Menutup catatan saya kali ini, dalam kita bergembira menanti Hari Lebaran yang bakal menjelang, hargailah anugerah Allah kepada kita kerana sesungguhnya anugerah daripada-Nya tiada nilai galang gantinya dengan yang lain. Salam.

Friday, August 5, 2011

Ramadhan...ooo Ramadhan

Hari ini dah masuk hari yang ke-5 umat Islam berpuasa. Mana-mana tempat kita pergi pun, Pasar Ramadhan (PARAM) tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Dalam punya banyak juadah yang dijual tu, kadang-kadang kita tak tahu nak beli apa? Banyak sangat pilihan pun susah, tak ada pilihan pun susah. Cerewet sungguh...

Dalam berjalan-jalan mencari pilihan juadah yang terasa berkenan nak makan, kadang-kadang terasa gelihati pun ada juga. Mana taknya, dalam kita pun sibuk membeli, rakan-rakan kita daripada keturunan India dan Cina pun sibuk membuat pilihan. Sama naik dengan orang Melayu yang kalut membeli mengejar waktu berbuka! Al maklum, lepas pulang dari ofis terus ke PARAM, kemudian baru nak pulang ke rumah.

Patutlah member kat ofis bagitau ( khususnya yang non Malay), mereka paling seronok apabila tibanya bulan Ramadhan sebab bermacam kuih-muih, lauk-pauk dan minuman yang tak pernah jumpa pada bulan tidak puasa boleh jumpa pada bulan puasa! Rupa-rupanya bulan Ramadhan ni bukan dinantikan oleh umat Islam sahaja tetapi juga oleh rakan-rakan kita yang lain. Syukurlah..

Apa-apa pun, dalam kita sibuk membeli juadah itu ini, janganlah sampai ke tahap membazir. Ingat pesanan ustaz-ustaz kita, membazir sahabat syaitan! Akhir kalam, saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh keinsafan dan ingatlah kesederhanaan itu membawa keberkatan!

Saturday, July 30, 2011

Salam Pembuka Bicara

Untuk kesekian kalinya, barulah impian saya untuk memiliki ruang menulis dalam arena blog terlaksana. Bukannya apa, kesibukan diri dalam tugas-tugas rutin baik dalam tugas hakiki mahupun tugas seorang suri menuntut masa yang terlalu lama untuk saya memulakan minat saya dalam bidang penulisan ini yang telah lama bercambah sejak saya di bangku sekolah lagi.

Penulisan saya ini banyak berdasarkan pengalaman saya sepanjang 26 tahun lebih dalam dunia pendidikan, soal kemasyarakatan yang menjadi sebahagian daripada rempah ratus kehidupan manusia yang saya lihat, dengar dan rasa. Di dalamnya nanti, akan ada nada suka duka, pahit getir yang mewarnai pelangi kehidupan manusia. Di samping itu, apa-apa sahaja perkara yang menarik perhatian saya akan turut saya coretkan di sini sebagai berkongsi pengalaman untuk mengecap dan mencari nikmat kebahgiaan di sebaliknya.

Penulisan saya ini lebih banyak bersifat santai dan bersahaja kerana pada pandangan saya, bahasa begini lebih dekat kepada pembaca yang ingin mengikuti blog saya. Meski terkadang, saya jua akan bermain dengan kata-kata berkias dan bermadah sebab kecintaan saya pada dunia sastera yang begitu mendalam, namun perkara yang tersirat dan tersurat akan tetap terungkap di dalamnya bagi mengajak pembaca untuk merenung, menilai, berfikir dan bermuhasabah dalam mematangkan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang sudi berkongsi rasa dan pendapat bersama saya.

Sampai jumpa lagi, mutiara kata untuk yang pertama ini, "hidup suatu perjalanan... berhati-hatilah supaya kita tidak tergelincir kerananya!