Wednesday, November 16, 2011

Percutian Keluarga.

Sudah lama benar saya dan keluarga tidak mengunjungi Cameron Highlands ( CH ), hampir-hampir 10 tahun lamanya. Saya masih ingat, musim-musim mengunjungi CH dulu ketika anak-anak pun masih kecil, dan kemudian ketika mereka mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah dan selepas itu ke sekolah menengah pula. Sesudah itu, saya dan keluarga sudah mula jarang-jarang ke CH lagi. Bukannya tidak suka, tetapi kesusahan mencari ruang waktu yang bersesuaian untuk kami berempat beranak untuk cuti serentak. Maklum, apabila anak yang sulung sudah memasuki universiti, anak kedua baru di SBP, jadi cuti sekolah dengan cuti universiti agak berbeza menjadikan peluang-peluang yang ada itu, kami lebih gemar berkunjung ke negeri-negeri yang belum pernah kami kunjungi lagi bagi memanfaatkan erti percutian kami sekeluarga!

Tanggal 6-8 November 2011 yang lalu, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk bercuti ke CH. Oleh sebab perancangan 'last minute' yang dibuat menjadikan semua hotel yang kami hubungi, kebanyakannya sudah 'fully booked' - maklum pada hari tersebut merupakan Hari Raya Aidiladha. Rupa-rupanya menjadi trend orang sekarang, usai sahaja solat sunat Aidiladha, orang dah mula mengatur perancangan untuk percutian! Akhirnya kami dapat membuat tempahan di Cameron Highlands Resort.

CH...terlalu banyak perubahan yang berlaku padamu! Ingat lagi, dulu-dulu hotelnya boleh dibilang dengan jari sahaja, kini sudah bertambah macam cendawan tumbuh selepas hujan. Stesen basnya juga sudah berubah wajah, indah sekali senibinanya, macam bangunan-bangunan yang terdapat di negara Barat. Tempat-tempat makan pun sudah banyak bertambah! Terkenang dulu, kami pernah lepak-lepak menghirup udara malam di bandar Tanah Rata...sambil enak-enak menjamu selera makan sate, mi rebus, rojak buah dan lain-lain. Masih ada lagi tempat itu, malangnya pada malam itu, tidak ada orang berniaga kerana masih lagi dalam suasana hari raya.

Ladang-ladang teh Bharat, Boh, strawberry, bunga ros dan tempat menjual sayur- sayuran, buah-buahan, kraftangan, bunga-bungaan segar dan kering masih seperti dulu juga. Walaupun di sana sini pembangunan semakin bertambah di CH, tetapi cuaca sejuknya masih terasa. Kunjungan kami kali ini disertai dengan musim hujan pada setiap petang menjadikan suhu di CH semakin bertambah sejuk menjelang pukul 4.00 petang hingga malam, ada kalanya mencecah sehingga 16C.

Paling istimewa apabila kami dapat mengunjungi ke Ladang Teh Boh di Sungai Palas, lebih kurang ketinggian melebihi 4000 kaki. Perjalanan ke Sungai Palas melalui jalan yang penuh berliku, jalan sempit...takut sungguh! Selisih dua kereta pun tak lepas...Pada paras ketinggian yang sebegitu, udaranya sunguh nyaman. Ada ruang legar yang disediakan untuk minum-minum teh secara santai dan sudah tentu pilihan kami sekeluarga ialah teh panas dengan beberapa sandwich dan cookies untuk memanaskan badan. Sungguh mendamaikan dengan pandangan yang penuh dengan kehijauan... dan di kejauhan, sayup-sayup kelihatan pekerja-pekerja ladang sedang memungut daun teh. Dalam kedinginan yang begitu, diri terbuai dalam lautan kehijauan daun teh yang sungguh menyegarkan...hilang segala jerit pekik kota yang membingitkan telinga selama ini...

Mengakhiri catatan, tiada yang lebih indah dalam hidup ini selain dapat menghayati keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya dengan penuh keinsafan bahawa kita menghargai ciptaan Sang Pencipta alam yang penuh dengan keajaiban bagi insan-insan yang mahu memikirkannya. Salam.

No comments:

Post a Comment