Wednesday, November 30, 2011

Ulang Tahun Perkahwinan.

Hari ini hari paling istimewa bagiku kerana pada hari ini merupakan hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-26. Kalaulah masa ini dapat diputarkan kembali, masih terbayang-bayang di ruang mata tanggal 1 Disember 1985 - tarikh kami diijabkabulkan sebagai suami isteri. Mulai saat dan detik itu, bermulalah kehidupan baru kami berdua setelah melewati musim-musim cinta pada zaman persekolahan, universiti dan alam kerjaya - tujuh tahun lamanya sehingga kami mengambil keputusan untuk mencari titik nokhtahnya pada tarikh tersebut!

Dalam melewati kembara 26 tahun hidup bersama, kami dikurniai dua putera yang kini sudah menjangkau usia remaja. Sesungguhnya, sepanjang perkongsian hidup antara kami anak beranak ini, banyak momen indah yang terukir dalam kehidupan kami biarpun kami juga tidak sunyi daripada melalui momen-momen duka seperti orang lain jua.

Terkenang kembali, saat-saat melahirkan anak sulungku, banyak yang kami perlu pelajari walaupun pada masa itu arwah ibu dan abah masih ada tetapi seboleh yang mungkin, kami tidak mahu menyusahkan mereka. Biarlah segala-galanya kami yang uruskan sendiri sehingga lahirlah putera kami yang kedua pula pada tahun 1990.

Kini, setelah 26 tahun berlalu, sebagai isteri dan ibu , aku bersyukur atas segala nikmat yang kuperoleh selama ini. Aku berbangga dengan pencapaian akademik yang diperoleh kedua-dua puteraku ini. Begitu juga dengan pencapaian diriku sebagai pendidik anak bangsa di menara gading ini. Sesungguhnya, aku amat menyayangi karier dan anak didikku semoga mereka menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati setiap perjalanan kehidupan kami dan anak-anak di dunia dan di akhirat dengan penuh keberkatan-Nya.

Buat suamiku...musim-musim bunga cinta yang kita lalui bersama, biarlah ia terus segar, berkembang mekar, mewangi buat selamanya. Sesungguhnya, tiada nikmat yang paling indah dan bahagia dalam hidup ini selain kita memohon dikurniai dengan nikmat kesihatan, rezeki, umur yang bermanfaat dan amal ibadat yang mendapat keredhaan-Nya. Amiinn...

Menutup catatan, kesabaran, ketabahan dan keikhlasan menjadi benteng kesetiaan dalam hati setiap isteri ketika menjalani kehidupan suka duka bersama suaminya kerana cinta itu perlu disemai, dibajai dan disirami, ibarat sekuntum mawar yang sedang menguntum wangi sepanjang masa. Salam.

Wednesday, November 16, 2011

Percutian Keluarga.

Sudah lama benar saya dan keluarga tidak mengunjungi Cameron Highlands ( CH ), hampir-hampir 10 tahun lamanya. Saya masih ingat, musim-musim mengunjungi CH dulu ketika anak-anak pun masih kecil, dan kemudian ketika mereka mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah dan selepas itu ke sekolah menengah pula. Sesudah itu, saya dan keluarga sudah mula jarang-jarang ke CH lagi. Bukannya tidak suka, tetapi kesusahan mencari ruang waktu yang bersesuaian untuk kami berempat beranak untuk cuti serentak. Maklum, apabila anak yang sulung sudah memasuki universiti, anak kedua baru di SBP, jadi cuti sekolah dengan cuti universiti agak berbeza menjadikan peluang-peluang yang ada itu, kami lebih gemar berkunjung ke negeri-negeri yang belum pernah kami kunjungi lagi bagi memanfaatkan erti percutian kami sekeluarga!

Tanggal 6-8 November 2011 yang lalu, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk bercuti ke CH. Oleh sebab perancangan 'last minute' yang dibuat menjadikan semua hotel yang kami hubungi, kebanyakannya sudah 'fully booked' - maklum pada hari tersebut merupakan Hari Raya Aidiladha. Rupa-rupanya menjadi trend orang sekarang, usai sahaja solat sunat Aidiladha, orang dah mula mengatur perancangan untuk percutian! Akhirnya kami dapat membuat tempahan di Cameron Highlands Resort.

CH...terlalu banyak perubahan yang berlaku padamu! Ingat lagi, dulu-dulu hotelnya boleh dibilang dengan jari sahaja, kini sudah bertambah macam cendawan tumbuh selepas hujan. Stesen basnya juga sudah berubah wajah, indah sekali senibinanya, macam bangunan-bangunan yang terdapat di negara Barat. Tempat-tempat makan pun sudah banyak bertambah! Terkenang dulu, kami pernah lepak-lepak menghirup udara malam di bandar Tanah Rata...sambil enak-enak menjamu selera makan sate, mi rebus, rojak buah dan lain-lain. Masih ada lagi tempat itu, malangnya pada malam itu, tidak ada orang berniaga kerana masih lagi dalam suasana hari raya.

Ladang-ladang teh Bharat, Boh, strawberry, bunga ros dan tempat menjual sayur- sayuran, buah-buahan, kraftangan, bunga-bungaan segar dan kering masih seperti dulu juga. Walaupun di sana sini pembangunan semakin bertambah di CH, tetapi cuaca sejuknya masih terasa. Kunjungan kami kali ini disertai dengan musim hujan pada setiap petang menjadikan suhu di CH semakin bertambah sejuk menjelang pukul 4.00 petang hingga malam, ada kalanya mencecah sehingga 16C.

Paling istimewa apabila kami dapat mengunjungi ke Ladang Teh Boh di Sungai Palas, lebih kurang ketinggian melebihi 4000 kaki. Perjalanan ke Sungai Palas melalui jalan yang penuh berliku, jalan sempit...takut sungguh! Selisih dua kereta pun tak lepas...Pada paras ketinggian yang sebegitu, udaranya sunguh nyaman. Ada ruang legar yang disediakan untuk minum-minum teh secara santai dan sudah tentu pilihan kami sekeluarga ialah teh panas dengan beberapa sandwich dan cookies untuk memanaskan badan. Sungguh mendamaikan dengan pandangan yang penuh dengan kehijauan... dan di kejauhan, sayup-sayup kelihatan pekerja-pekerja ladang sedang memungut daun teh. Dalam kedinginan yang begitu, diri terbuai dalam lautan kehijauan daun teh yang sungguh menyegarkan...hilang segala jerit pekik kota yang membingitkan telinga selama ini...

Mengakhiri catatan, tiada yang lebih indah dalam hidup ini selain dapat menghayati keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya dengan penuh keinsafan bahawa kita menghargai ciptaan Sang Pencipta alam yang penuh dengan keajaiban bagi insan-insan yang mahu memikirkannya. Salam.