Tuesday, September 6, 2011

Suatu Tragedi.

Semalam, 5 September 2011, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, saya mendengar siaran AM KRU, HOT FM bersama 4 DJnya yang tidak asing lagi dengan 2 tetamu jemputan istimewa mereka iaitu Jurukamera TV3; Aji Saregar dan wartawan; Shahril ( maafkan saya kalau nama ini tersilap dengar ) tentang insiden-insiden yang berlaku di sebalik tabir dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia sehingga mengakibatkan terkorbannya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor pada 4 Syawal 1432H bersamaan dengan 2 September 2011.

Sesuatu yang cukup terkesan di hati saya apabila Sdra. Aji Saregar menceritakan kisah perbualan-perbualan terakhir beliau bersama Allahyarham Noramfaizul. Antaranya; tentang permintaan Allahyarham yang ingin bergambar di depan kapal terbang Skyhwk ( maaf andai tersilap dengar ) yang terletak di kawasan kem pelarian Mogadishu. Menurut Aji, kedua-dua mereka bergambar di situ dan Allahyarham meminta Aji supaya mencuci gambar tersebut apabila tiba di Kuala Lumpur kerana merekalah orang yang paling bertuah kerana dapat mengabadikan diri mereka di situ.

Yang kedua, apabila Aji Saregar menceritakan keriangan Allahyarham mengisahkan kembali perihal semua rakan medianya daripada Astro, TV1, TV3, NTV7, dan agensi-agensi yang berkaitan tentang kebaikan rakan-rakannya itu. Pada pandangan peribadi saya, Allahyarham merupakan seorang yang cukup berdedikasi dengan tugasnya sebab itu beliau disegani dan disayangi oleh banyak pihak dan mempunyai kenalan dan taulan yang ramai.

Sesuatu yang cukup mengharukan dan menyentuh hati nurani saya apabila Sdra. Aji mengatakan sesampai sahaja rombongan mereka di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pada 3 September 2011, semua rakan Allahyarham yang diceritakan oleh Allahyarham dalam sesi borak-borak mereka berdua itu turut hadir menyambut ketibaan jenazah tersebut. Menurut Aji, beliau juga mengenali rakan-rakan media Allahyarham kerana mereka dalam bidang yang sama.

Pada pandangan saya, Allahyarham seolah-olah seperti sudah mengetahui ajalnya akan tiba apabila terkenang kembali kemesraan bersama rakan-rakan medianya itu dan akhirnya rakan-rakan itulah juga yang menunggu dan menyambut ketibaan jenazahnya. Al Fatihah untuk Allahyarham semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diredhai oleh-Nya. Amiinn.

Emosi saya semakin terusik apabila Faizal Hot FM menyiarkan lagu 'Pergi' nyanyian Aizat yang bait-bait liriknya itu terus saya hayati sehingga saya dibuai kesayuan yang berpanjangan pada pagi Isnin pertama memulakan tugas selepas bercuti panjang kerana menyambut Hari Raya Aidilfitri 2011.

Menutup catatan, setiap yang pergi pasti meninggalkan kenangan. Simpan ia sebagai suatu memori yang biarpun payah... tetapi sebagai hamba Allah, kita tidak punya kuasa untuk menidakkan ketentuan daripada-Nya, kerana sesungguhnya daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan. Salam.