Monday, August 22, 2011

Lagu dan Hari Raya

Minggu ini merupakan minggu terakhir fasa Ramadhan sebelum Syawal menjelang tiba. Ramai yang sibuk dengan persiapan menyambut hari raya , malah suasana di pejabat-pejabat juga sudah mula terasa lengang apabila ramai staf yang sudah mula bercuti untuk pulang ke kampung. Bagi kebanyakan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri begitu terasa sekali sambutannya kerana ia dirayakan selepas umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa selama sebulan. Malah bagi kanak-kanak yang baru berjinak-jinak berpuasa, Aidilfitri begitu dinanti-nantikan setelah mereka berjaya menahan diri daripada makan dan minum serta mematuhi adap-adap berpuasa seperti yang dituntut dalam Islam.

Sebenarnya, suasana hari raya dapat dirasai di mana-mana, malah ketika berada di pejabat pun terasa suasana itu apabila melihat lampu-lampu neon bergemerlapan di kaunter pejabat dengan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tambahan pula apabila mendengar lagu-lagu raya berkumandang di radio baik lagu-lagu raya lama mahupun lagu-lagu raya baru bagi mengundang suasana kemeriahan perayaan tersebut.

Bercakap tentang lagu-lagu raya ini, saya pernah berbual-bual dengan rakan-rakan yang kebanyakannya bersependapat dengan saya bahawa lagu-lagu raya 'malar segar' ini lebih terasa kemeriahannya berbanding lagu-lagu raya baru. Walaupun lagu-lagu raya 'malar segar' ini ada yang sudah berusia 20 - 30 tahun lebih tetapi hingga kini masih syahdu didengar dan begitu terasa 'roh' hari raya tersebut. Antara yang dapat saya catatkan judul lagu raya tersebut adalah seperti lagu:

Selamat Hari Raya - Saloma, Ahmad Jais dan Fazidah Joned (versi yang berbeza), Suasana Hari Raya & Hari Raya Yang Mulia - Sharifah Aini, Aidilfitri & Bersabarlah Sayang - Sanisah Huri, Dendang Perantau - P.Ramlee, Cahaya Aidilfitri - BDB, Satu Hari Dihari Raya - M.Nasir, Dari Jauh Kupohon Maaf - Sudirman dan Seloka Hari Raya - Hail & Uji.

Saya tidak dapat bayangkan seandainya hari-hari perayaan di Malaysia seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal tidak mempunyai lagu-lagu raya untuk menyatakan suasana kemeriahannya. Kemungkinan, pada hari-hari perayaan tersebut, tentu suasananya akan berasa hambar sekiranya tiada lagu-lagu raya yang mengiringi kemeriahan perayaan tersebut. Rupa-rupanya lagu juga memainkan peranan yang penting dalam menyatakan sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya!

Lagu-lagu inilah yang sebenarnya menyatakan rasa dan naluri setiap insan baik kepada anak perantauan yang berjauhan daripada keluarga, yang ketiadaan ibu bapa atau yang tak sabar-sabar menanti tibanya hari raya seperti golongan kanak-kanak! Saya masih ingat kebanyakan lagu yang saya nyatakan ini, saya masih lagi dalam alam persekolahan. Kini setelah hampir 25 tahun saya bekerja, lagu-lagu ini masih segar dalam ingatan, masih berada dalam carta tertinggi lagu raya paling digemari. Malah anak-anak remaja yang lahir dalam era 90-an pun tidak meminati lagu-lagu raya yang lahir pada zaman mereka, tetapi masih mengkagumi lagu-lagu raya 'malar segar' ini biarpun mereka belum lahir lagi ke dunia pada ketika itu. Sekalung tahniah buat para pencipta dan penulis lirik lagu-lagu tersebut!

Kita tidak tahu sebab-sebab lagu-lagu raya baru yang dicipta oleh pencipta-pencipta kini gagal menambat hati atau menyentuh intuisi pendengarnya menyebabkan lagu-lagu tersebut tidak ubah seperti lagu-lagu biasa sahaja yang tidak mempunyai 'jiwa' untuk menyatakan kemeriahan dan erti sebenar hari raya. Sebaliknya, lagu-lagu raya 'malar segar' ini sentiasa segar sepanjang zaman, biarpun apabila negara berada pada ambang 2020, lagu-lagu ini masih tetap eksklusif berada di persadanya!

Menutup catatan, sesungguhnya rahmat Allah amat banyak kepada hamba-hamba-Nya, jadilah kita insan yang sentiasa mensyukuri nikmat-Nya. Sempena bulan yang penuh dengan keberkatan ini, sama-samalah kita bermaaf-maafan semoga Aidilfitri ini membawa cahaya keinsafan yang abadi buat kita semua. Insya Allah. Salam.



1 comment: